Friday 1 June 2012

Amalan soleh menjana kekuatan diri


Pertama : 
Berusahalah untuk bertahajud kerana kemulian seorang mukin terletak pada tahajudnya. Solat tahajud biasanya dilakukan semasa Qiamullail. Ibadah Qiamullail adalah kebiasaan para salafussoleh dan syiar para kekasih Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis :

"Hendaklah mengerjakan Qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapuskan dosa dan mengusir penyakit daripada tubuh."
(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Solat malam merupakan ibadah yang paling afdal kerana ia mendekatkan diri kepada rasa keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riak. Latihan ini sangat baik untuk mendidik diri agar sentiasa bersih, jernih dan suci!

Kedua :
Melazimi membaca al-Quran dan zikir almathurat sebelum terbit matahari kerana ia merupakan sumber ketenangan seorang mukmin Muslim.

Al-Quran adalah motivasi terulung bagi seorang mukmin. Anda percaya? Ya. Ia merupakan penggerak dan dinamo utama kepada energy kekuatan seseorang insan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Tegas Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud:
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."
(Al-Isra (17) : 82)

Ketiga :
Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin Muslim yang utuh. Solat merupakan  talian hayat utama bagai seorang hamba kepada Tuhannya.

Solat menghubungkan jiwa, roh dan hati seseorang insan terus kepada Rabbnya. Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga yang mampu menggerakkan dan melonjakkan produktiviti serta amal proaktif semua insan.

Kesempurnaan solat terletak kepada kekusyukan dan aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci pintu hati, bersinar serta terelah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan ini seseorang  akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya.
Nabi Muhammad SAW bersabda : 
"Dan dijadikan mataku sejuk dalam solat."
(Hadis riwayat Nasai)

Keempat :
Jaga solat dhuha kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Rasulullah SAW bersabda : 
"Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedekah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaaat sunat Dhuha."
(Hadis riwayat Abu Dzar RA) 

Kelima :
Sentiasa bersedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang.

Sedekah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan lumayan.

Allah SWT berfirman bermaksud :
"Perumpamaan orang-orang yang menafqahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui."
(Al-Baqarah 2 : 261)






No comments:

Post a Comment